Jun 25, 2015

Ramadhan #8

Seminggu sudah Ramadhan; Jiwa masih dijajah?

Pernah kita duduk sendiri bermonolog dalam mencari hakikat sebenar Ramadhan yang Allah hadiahkan saban tahun?
 
Adakah kita melakukan amal di bulan mulia ini kerana sudah menjadi kebiasaan umum atau adat semata, sehingga saat menjelang ‘aidil fitri’ nanti ia menjadi anti klimaks kepada setiap amal ibadah kita? 
 
Cuba jujur dengan hati adakah kita telah sepenuhnya bersungguh-sungguh dan beriltizam di bulan ini untuk merealisasikan sasaran ‘menjadi orang yang bertaqwa’ yang Allah ar-Raheem telah sasarkan dalam al-Baqarah ayat 183?

"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang sebelum kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa"
 
Ramadhan bukanlah sekadar ‘bulan puasa’ malah ada mesej yang lebih besar yang Allah ingin sampaikan; bulan al-Quran.
 
Cuma sejauh mana kita benar-benar merasai al-Quran adalah hadiah termahal sebagai ‘rawatan' untuk segala permasalahan kehidupan yang kita hadapi?

Carilah masa untuk selalu berinteraksi dengan diri sendiri dan bermonolog sejauh mana kita telah memberi ruang kepada hati untuk 'menghadam' dan menghayati segala mesej dalam al-Quran.
 
Kerana mesej al-Quran hanya akan menjadi basyirah iaitu khabar gembira buat mereka yang menerima Allah sebagai Rabb dan Illah serta yakin wujudnya ‘alam ghaib’.
 
Selagi mana kita tidak menerima perkara ini, maka usah pelik jika kita menemui dialog orang Islam di bulan Ramadhan yang berbunyi:
 
“Mat, jom pi solat..”
 
“Pi la..” (Baca: Mat tidak menunaikan solat)
 
Tiba waktu berbuka puasa, Mat berbuka puasa seperti orang lain.
 
Hakikatnya, solat adalah rukun Islam yang lebih awal disyariatkan berbanding ibadah puasa.

Tetapi realiti saat ini, sebahagian umat Islam hanya melaksanakan amalan puasa. Ada juga yang mengatakan sekurang-kurangnya dia berpuasa walaupun dia tidak mengerjakan solat.

Aduhai, di manakah kefahaman tentang nilai rukun Iman dan Islam yang sebenar dalam masyarakat tatkala aturan kehendak manusia mendahului aturan-Nya?
 
Kini sudah hari kelapan Ramadhan. Masa berlalu tak pernah menunggu kita.
 
Ragam yang dijangka setiap kali Ramadhan mula kelihatan. Ini bukan lelucon tetapi ini adalah suatu senario yang menjadi kebiasaan yang menggusarkan hati mereka yang 'hidup'.
 
“Pembaziran makanan”

“Banyak tidur”
 
“Mula kejar diskaun terutama pada 10 malam terakhir Ramadhan"

"Pemilihan pakaian raya yang tidak syarei”
 
“Lalai dengan buang masa yang lama di laman sosial"

"Peruntukan masa yang lama di bazar Ramadhan atau dapur”
 
“Mengumpat”
 
Segalanya kerana jiwa yang masih dijajah oleh tiga penjajah berkuasa besar iaitu syaitan yang dilaknat Allah, hawa nafsu dan diri sendiri.
 
Syaitan.

Ia adalah penjajah pertama yang menjadi seteru terbesar manusia. Misinya sepanjang di dunia untuk mengajak manusia kepada mendurhakai Allah.

Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menghukum aku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan menghias dan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini,dan aku akan menyesatkan mereka semuanya” [al-Hijr 15: 39]
 
Segala perancangan 'penjajah' telah termaktub di dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
 
Apakah engkau tidak melihat keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: sebagai Tuhan yang diutamakan dan dipatuhinya, lalu dia disesatkan oleh Allah biar pun dalam keadaan dirinya berilmu dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyah 45: 23]
 
Itulah sebesar-besar 'penjajah'.
 
Saat jiwa dijajah oleh diri sendiri; mereka buta walaupun celik, pekak walau punya sepasang telinga.
 
Dua jenis penjajah ini mempunyai strategi yang pelbagai untuk semua lapisan dan tidak terlepas juga buat mereka yang memperoleh 'segulung ijazah'.
 
Saat kita menjadi hamba kepada nafsu; ilmu tidak lagi berfungsi menjadikan mereka bijak. Mata yang celik tidak menjadikan mereka melihat dan telinga yang ada menjadikan mereka tuli.
 
Segalanya berpunca daripada hati yang telah mula buta.

Inilah penangan nafsu.
 
Ayuh kita kembali kepada fitrah dan tunduk patuh pada perintah Allah  dalam keadaan jiwa yang 'merdeka' agar amal kebaikan terasa ringan untuk dilaksanakan terutama di saat 'syaitan dirantai'.
 
Ramadhan, ajarkan kami menjadi hamba Rabbani agar ia menatijahkan istiqamah (konsistensi) sehingga bertemu Illahi.
 
Moga Syawal yang bakal dirai adalah manifestasi iman dan kemerdekaan jiwa yang hakiki.

"Orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang yang berusaha membaiki amalannya" (Al-Ankabut : 69)

#AkuDanRamadhan

-copypaste-